Merdeka 68: PM Anwar, Menteri Kabinet Hadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri kabinet Kerajaan MADANI hadir menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Kabinet menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di pentas diraja pada 7.52 pagi bagi menyaksikan perarakan serta persembahan sempena sambutan tahun ini.
Terdahulu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri masing-masing tiba pada 7.44 pagi dan 7.40 pagi.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta ahli Kabinet yang lain.
Sambutan bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” itu juga dihadiri timbalan-timbalan menteri, dif-dif kehormat dan perwakilan asing.
Kesemua mereka ditempatkan di pentas diraja serta di kiri dan kanan pentas selain kira-kira 100,000 rakyat pelbagai kaum dan pelancong asing yang turut sama meraikan perayaan tahun ini.

Perarakan dan persembahan tahun ini menyaksikan penglibatan 14,062 peserta, 81 kontinjen, 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
