Merdeka 68: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Manifestasi Semangat Patriotik Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahmad Zahid dan Fadillah merakam kenangan bersama Teres Grafik Manusia serta menyantuni rakyat yang hadir kira-kira 100,000 orang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 31 Ogos – Selesai sudah sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang disifatkan cukup meriah, cukup ‘ramuan’ merangkumi setiap kelompok masyarakat bermula daripada segmen ketenteraan, perbankan, agensi keselamatan hinggalah kepada ratusan haiwan yang turut ‘bertugas’ dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Disifatkan sebagai sambutan yang terbaik dalam sejarah setakat ini, Hari Kebangsaan 2025 bukan sekadar manifestasi kecintaan dan semangat patriotik kira-kira 100,000 rakyat di Dataran Putrajaya, tetapi memahatkan rasa bangga dan insaf terhadap perjuangan pemimpin terdahulu di segenap pelusuk tanah air.

Kelancaran penganjuran sambutan hari ini jelas menterjemahkan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Saya bersetuju dengan ulasan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang berkata, beliau berbangga dengan kejayaan penganjuran kali ini yang berjalan lancar hasil perancangan rapi semua pihak.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan jumlah kehadiran berdasarkan data kita peroleh daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) adalah lebih daripada 100,000 orang.
“Berbeza pada tahun ini, kita juga menyediakan pelbagai acara sisipan bagi mereka yang hadir termasuk program Riuh Merdeka yang diadakan sejak semalam,” katanya.

Masakan tidak, ribuan rakyat telah hadir seawal jam 9 malam tadi hanya semata-mata mahu mendapatkan lokasi terbaik bagi menyaksikan persembahan sebanyak 81 kontinjen melibatkan ribuan peserta yang cukup terlatih hingga mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Saya juga difahamkan, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berkata, Perdana Menteri sempat meluangkan masa menyantuni pasukan Teres Grafik Manusia yang menghasilkan grafik manusia dengan cemerlang tanpa mengira cuaca panas dan mengutamakan tugas demi menghasilkan paparan terbaik ke seluruh dunia.

“Mereka berlatih lebih dua bulan untuk persembahan hari ini. Perdana Menteri turut menitipkan pesanan bahawa persembahan itu antara yang terbaik pernah beliau saksikan,” katanya.
Bukan sekadar itu, menyedari sambutan hangat yang diterima tahun lepas, pihak penganjur menambah baik kemudahan serta meningkatkan kapasiti penonton berdasarkan cadangan yang dikemukakan kepada jawatankuasa pelaksana yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.

Bagi meningkatkan keselesaan, pihak penganjur turut menyediakan lebih banyak kemudahan untuk kegunaan pengunjung, selain meneliti cadangan media khususnya jurufoto supaya susun atur sambutan akan datang lebih strategik.
Sudah pasti parameter yang diletak tinggi tahun ini akan cuba dipecahkan dalam bentuk penghasilan segmen tema yang lebih menarik bagi sambutan tahun depan, semuanya demi Malaysia tercinta.

Bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sambutan bermula jam 8 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang berkenan memandu sendiri Proton Satria Neo R3 biru bernombor WWW 1 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang amat mementingkan ketelitian dalam setiap perkara.
Harapan rakyat kini, melihat kepada keadaan huru-hara di negara jiran serta jerit perih mereka memperjuangkan sesuap nasi, rakyat Malaysia pastinya lebih beruntung daripada teksi air percuma, bas pengantara percuma hinggalah merasai nikmat sambutan yang mungkin tidak terdapat di mana-mana negara lain di dunia.

Marilah kita sama-sama menghayati makna sebenar tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dengan lebih mendalam dan bermakna menjelang sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang, 16 September depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
