PL: Perhitungan Besar Liverpool, Arsenal Penentu Kejuaraan Liga

Mohamed Salah mencipta rekod baharu Liverpool apabila menjadi satu-satunya penyerang yang berjaya membuat bantuan jaringan (assist) dalam tujuh kali penampilan ketika menentang Newcastle United sejak 2018. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 31 Ogos – Dua gergasi Liga Perdana Inggeris (PL) Liverpool dan Arsenal akan membuat perhitungan besar di Anfield malam ini dalam perlawanan yang dijangka menjadi titik tolak perebutan kejuaraan liga musim ini.

Menambahkan lagi kehangatan, kedua-dua kelab masih belum tewas selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan pembuka musim dengan kekuatan serangan tidak boleh dinafikan.

Liverpool berbelanja hampir £300 juta (RM1.71 bilion) untuk menguatkan pasukan selepas bergelar juara musim lalu, dengan Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Milos Kerkez, Jeremie Frimpong dan Giovanni Leoni antara muka baharu dibawa masuk Arne Slot.

Mohamed Salah sekali lagi menjadi taruhan Liverpool merobek gawang Arsenal bersama Hugo Ekitike menjelang pertembungan di Anfield 31 Ogos 2025. Foto Reuters

Arsenal pula tampil garang membawa masuk Kepa Arrizabalaga, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke, Cristhian Mosquera, Viktor Gyokeres serta Eberechi Eze.

Namun, krisis kecederaan kembali menghantui skuad kendalian Mikel Arteta apabila Bukayo Saka, Kai Havertz dan Gabriel Jesus disahkan tidak dapat beraksi, manakala situasi Martin Odegaard masih samar.

Liverpool pula berdepan isu pertahanan selepas Frimpong cedera dan Kerkez masih bergelut, walaupun rekod di Anfield kekal ampuh dengan hanya sekali tewas dalam 20 aksi liga terakhir.

Bintang Arsenal giat menjalani latihan menjelang pertembungan dengan seteru kejuaraan liga Liverpool di Anfield pada 31 Ogos 2025. Foto Arsenal

Selain faktor taktikal, perlawanan ini turut mencuri tumpuan dengan kemunculan bakat remaja sensasi — Max Dowman (15 tahun, Arsenal) dan Rio Ngumoha (16 tahun, Liverpool).

Sama ada diturunkan atau tidak, kedua-duanya dianggap simbol masa depan cerah kelab masing-masing.

Ekitike dijangka terus menjadi duri dalam daging bersama Mohamed Salah dan Cody Gakpo menggempur setiap inci ruang The Gunners dan Slot turut memantapkan pertahanan bagi mengekang asakan skuad Arteta yang garang ketika menewaskan Leeds United 5-0 minggu lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *