Merdeka 68: Agong Berangkat Tiba Mulakan Sambutan Hari Kebangsaan 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba dengan memandu sendiri Proton Satria Neo jam 8 pagi di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Shahir Omar

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Malaysia memulakan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema, ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’ secara rasmi bermula jam 7 pagi tadi.

Acara sempena kemerdekaan negara ke-68 bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada jam 8 pagi tadi.

Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas hormat diiringi lagu kebangsaan Negaraku.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba dengan memandu sendiri Proton Satria Neo jam 8 pagi di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025.

Baginda kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lagu Negaraku sekali lagi berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, nama rasmi bagi bendera negara bersama tembakan meriam sebanyak 14 das.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba lima minit lebih awal dan sebelum itu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri tiba selang lima minit lebih awal daripada Perdana Menteri.

Orang ramai sanggup bersengkang mata seawal jam 9 malam tadi semata-mata mendapatkan kedudukan terbaik bagi menyaksikan lintas langsung acara penuh patriotik antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *