Merdeka 67: Agong Teruja Persembahan Chingay Buat Penampilan Sulung Di Putrajaya

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menyaksikan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan ke -67 yang bertemakan "Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka" di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Perarakan Chingay membuat penampilan sulungnya pada perarakan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya di sini hari ini, mempamerkan aksi hebat mengimbangi bendera gergasi sambil berarak, dengan iringan tarian singa dan naga.

Persembahan julung kali itu turut menarik minat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang teruja apabila peserta persembahan melintasi Pentas Diraja sambil disaksikan ratusan ribu rakyat pelbagai kaum yang berhimpun seawal jam 5 pagi.

Kemunculan seni jalanan yang berasal dari China sekitar dua abad yang lepas itu jelas mencuri tumpuan ramai dengan penampilan aksi bertenaga lagi mempesonakan 23 ahli Chingay dari Persekutuan Tarian Singa dan Naga Malaysia.

Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Singa dan Naga Malaysia Ching Xiao Fong berkata, seni Chingay telah diadaptasi dengan unik untuk masyarakat Malaysia, dan ia diharap dapat terus berkembang dengan pembabitan semua lapisan masyarakat.

“Buat masa ini, ahli kami hanya terdiri daripada masyarakat Cina dan India, khususnya remaja, tetapi kami ingin melihat lebih banyak penyertaan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau turut melahirkan harapan agar Chingay dijadikan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah pada masa hadapan, seperti tarian singa dan naga.

Dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ Hari Kebangsaan tahun ini menyerlahkan semangat kebersamaan merentas segenap lapisan masyarakat, mencerminkan perpaduan holistik sebuah negara maju dan progresif yang melindungi penduduknya yang pelbagai dan memupuk identiti nasional bersama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *