‘Meragam’ Lepas Isi Minyak, Stesen PETRONAS Ditutup Sementara

Pasukan teknikal PETRONAS menjalankan siasatan lanjut susulan kenderaan pengguna mengalami kerosakan pada 24 Disember 2025.

KUCHING, 26 Dis – Sebuah stesen minyak PETRONAS di Samarahan Expressway ditutup sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan susulan insiden beberapa kenderaan dilaporkan mengalami masalah selepas mengisi minyak di stesen berkenaan.

PETRONAS Dagangan Berhad (PBD) dalam satu kenyataan awal berkata, penutupan sementara berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada siasatan terperinci berhubung punca kejadian.

“Pihak kami ingin memberi jaminan bahawa semua stesen PETRONAS lain terus beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas oleh insiden ini,” menurut kenyataan tersebut.

PBD turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi pelanggan yang terlibat serta mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera.

Syarikat berkenaan menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden tersebut dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan.

Orang ramai yang terjejas diminta menghubungi Mesralink di talian 1-300-88-8181 bagi mendapatkan bantuan segera.

Terdahulu, isu berkenaan tular di media sosial apabila beberapa pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami kerosakan selepas mengisi minyak di stesen PETRONAS Samarahan Expressway.

Difahamkan, kira-kira 2,000 liter diesel dipercayai bercampur dengan petrol susulan kegagalan teknikal sistem tangki simpanan di stesen berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *