Mengenang Dr Syed Husin Ali Setelah KEADILAN Jadi Kerajaan

Dengan KEADILAN kini berjaya mengetuai kerajaan dan Anwar sudah memegang jawatan Perdana Menteri, sebahagian daripada penyumbang kejayaan itu ialah Pak Syed Husin.

PENDAPAT, 10 Ogos – Apabila melihat masih ramai generasi muda KEADILAN yang ada sifat mengenang jasa pejuang-pejuang parti yang telah pergi , penulis merasa lega serta turut berbangga.

Sifat bijak mengenang budi pejuang-pejuang parti adalah usaha murni yang perlu diteruskan secara konsisten dengan pelbagai cara. Sama ada dalam bentuk program, tulisan atau sebagainya.

Catatan penulis pagi ini adalah berkaitan dengan tokoh besar KEADILAN iaitu Allahyarham Dr Syed Husin Ali atau lebih mesra digelar Pak Syed Husin Ali.

Semasa hayatnya Dr Syed Husin banyak membingkaikan prinsip perjuangan dalam mendepani gerakan rakyat bermula daripada PRM dan selepas itu KEADILAN sehingga akhir hayatnya.

LEGASI PAK SYED HUSIN LUAS

Legasi yang ditinggalkan oleh arwah Pak Syed Husin amat besar serta luas bukan sahaja dalam akademik, malah sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir bersama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang, terutama peranan mereka dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Arwah yang juga bekas Timbalan Presiden KEADILAN, tokoh akademik dan salah seorang bekas tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), meninggal dunia pada usia 88 tahun di awal pagi 29 Jun lalu.

Sebelum itu, beliau terkenal sebagai Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia, yang kemudiannya dijenamakan semula kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas parti itu menggugurkan ideologi sosialisnya.

Anak muda kini wajar mengangkat serta memahami erti perjuangan yang ditinggalkan Dr Syed Husin agar tidak tergelincir daripada lunas hukum dan prinsip sama ada menjadi pembangkang atau setelah berkuasa di Putrajaya.

Arwah juga adalah pengasas utama KEADILAN dengan membawa PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional, lalu dinamakan Parti Keadilan Rakyat.

Nama Parti Keadilan Rakyat itu kekal sehingga kini.

Ketika arwah menjadi pensyarah di Universiti Malaya, PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang pelajarnya di universiti berkenaan.

Semasa bertugas sebagai ahli akademik di UM, arwah telah menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah berkisar sosiologi dan politik Malaysia, dengan menumpukan kepada soal kemiskinan dan penyelesaiannya.

Bukunya “Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya” dianggap sebagai karya rujukan klasik mengenai topik tersebut.

Kisah perjalanan hidupnya dalam “Dua Wajah”, yang menceritakan pengalamannya sebagai tahanan tanpa bicara di bawah ISA, dengan jelas memberikan gambaran terperinci tentang bagaimana pihak berkuasa di masa lampau cuba melawan pengkritik kerajaan dengan menggunakan pelbagai taktik ugutan.

Guru politik dan sosial ini banyak memberi impak kepada lanskap politik negara dan salah satunya ialah Dr Syed Husin Ali tanpa memikirkan habuan atau jawatan semasa hayatnya.

Arwah Pak Syed Husin turut menceritakan bagaimana ketika dalam penjara, pihak berkuasa cuba menabur fitnah mengenai isterinya Sabariah Abdullah, yang teguh berdiri di belakangnya sehingga akhir hayatnya.

Isterinya kemudian meninggal dunia pada tahun 2013.

PENJARA ISA

Arwah Pak Syed Husin sentiasa menegaskan bahawa penahanannya dalam ISA adalah bermotifkan politik dan beliau mangsa perebutan kuasa dalam Umno.

Ketika Anwar terlibat dalam demonstrasi pelajar pada tahun 70-an, beliau adalah salah seorang pelajar Syed Husin.

Di ketika usianya kian meningkat tua dan keadaan kesihatan pula tidak mengizinkan, Syed Husin tidak lagi aktif dalam politik semasa tetapi kekal sebagai penyokong setia Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke akhir hayatnya.

Buku ‘Dua Wajah’ karya Dr Syed Husin Ali menceritakan pengalamannya berada dalam tahanan ISA di Kamunting yang wajar menjadi panduan anak muda agar tidak terjebak dengan anasir tidak sihat seperti rasuah, salah guna kuasa dan politik kuku besi.

Ertinya, dengan KEADILAN kini berjaya mengetuai kerajaan dan Anwar sudah memegang jawatan Perdana Menteri, sebahagian daripada penyumbang kejayaan itu ialah Pak Syed Husin.

Ketika berperanan sebagai Timbalan Presiden KEADILAN (2003 hingga 2010), Syed Husin tidak dinafikan banyak memainkan peranan ke arah mengembang dan mengukuhkan parti tersebut.

Sebab itu, Anwar begitu tersentuh dan terharu dengan pemergian Syed Husin.

Dalam catatan di Facebooknya, Anwar mencoretkan satu tulisan khas sebagai tribute kepada gurunya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan semoga Allah melimpahkan belas kasih-Nya yang tidak terhingga ke atas roh Pak Syed, insya-Allah.

Antaranya, Anwar menulis – “Masih saya ingat dalam banyak sesi kuliah dan syarahannya saat menuntut di Universiti Malaya yang sarat dengan kebijaksanaan yang berselirat dengan mesej yang mengajak untuk menegakkan keyakinan, dan itu juga bermaksud untuk bersikap kritikal, mempersoal status quo dan mendambakan sebuah sistem bermasyarakat—yakni sebuah tatanan—yang adil dan saksama.

“Sosok Syed Husin berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, sambil mempertaruhkan jiwanya dalam mendepani permasalahan kemiskinan dan perjuangan kaum tani seperti Hamid Tuah dan juga nasib kaum buruh di Selangor pada sekitar 1960an.

Focus On GE15 With Party Polls Over – Syed Husin

“Dia berdiri tegak di situ, di barisan paling hadapan, terutamanya dalam mendukung perjuangan warga di bandar-bandar, petani di Baling, serta mahasiswa yang berjuang dalam mengangkat kepentingan rakyat.

“Legasi yang ditinggalkan sosok kecil ini ternyata tidak kecil, dan ia berlanjut melebihi dewan dan gedung-gedung akademik.

“Sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir, dia telah meninggalkan khazanah pengetahuan yang sangat besar dan meluas tatkala beliau berkongsi keghairahannya itu dengan Tongkat Warrant (Usman Awang) di dasawarsa-dasawarsa lampau, dan ia terbukti melalui peranannya sebagai Presiden PENA.

“Keterlibatannya di jalur politik progresif sebagai Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) dari 1990-2003, dan kemudian sebagai pengasas bersama serta Timbalan Presiden Partai Keadilan Rakyat (KEADILAN) lantas memperkukuh penjiwaannya kepada prinsip keadilan dan dalam membentuk serta mencorak sebuah Malaysia yang lebih baik.

“Penghargaan setingginya buat Pak Syed kerana menjadi sosok guru yang luarbiasa hebat, mentor dan juga sahabat.

Syed Husin Kembali Ke Rahmatullah

“Semangat juangnya akan terus menyemarak di banyak sanubari, dan legasi besarnya itu akan terus mengemudi arah dan masa depan bangsa.

“Semoga Allah SWT melimpahkan belas kasihNya yang tidak terhingga ke atas ruh Pak Syed, Insya-Allah.”

Akhirnya marilah kita dalam parti ini sentiasa mengenang dan mengingati jasa arwah Pak Syed Husin, sambil sekerap mungkin menyedekahkan Al-Fatihah dengan doa semoga rohnya sentiasa dalam peliharaan dan kasih sayang Tuhan.

– Oleh Noraini Nordin


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *