Syed Husin Kembali Ke Rahmatullah

Allayharham Syed Husin menghembuskan nafas terakhir jam 12.25 pagi tadi pada usia 87 tahun.
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali meninggal dunia pada usia 87 tahun awal pagi ini.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memuat naik khabar duka berkenaan di akaun media sosialnya, turut memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak Hari Raya Aidiladha pada hari kedua baru-baru ini.
Beberapa hari lalu, keadaan Allahyarham dilaporkan kritikal dan tidak sedarkan diri menurut kartunis Zunar yang memaklumkan hal itu di X.
Perkara itu turut dikongsikan anaknya, Muhammad Ali yang memberitahu bahawa keadaan kesihatan ayahnya itu merosot secara tiba-tiba.
Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Presiden Parti Rakyat Malaysia dan profesor di Universiti Malaya (UM) dan pada 2022 dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN.
Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk ‘Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara’ yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta ‘Sejarah dan Dasar Perjuangan Keadilan’.
Syed Husin juga banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain merupakan antara tokoh senior yang sudah lama berjuang dalam politik tanah air.
Fahmi juga pernah membantu kempen Allahyarham pada Pilihan Raya Umum 2004 sewaktu beliau bertanding di kawasan Petaling Jaya Selatan (kini parlimen Petaling Jaya).
Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid Tunku dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
