‘Mengapa Tak Usaha Sama Tamatkan Konflik Di Gaza, Ukraine’?

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu acara di Istanbul pada 26 Jun 2025. Foto X
ANKARA, 27 Jun – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, semalam memuji usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam mencapai gencatan senjata antara Iran dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya memberitahu Trump bahawa – merujuk kepada usahanya dalam gencatan senjata antara Israel dengan Iran – tahap usaha yang sama juga diharapkan untuk membantu menamatkan konflik di Gaza dan perang Russia-Ukraine.
“Penutupan Selat Hormuz akan menyebabkan masalah besar. Kami percaya Iran tidak akan mengambil langkah sedemikian,” kata Erdogan di Belanda.
Erdogan turut menegaskan konflik terbaru antara Iran dengan Israel sekali lagi menyerlahkan betapa pentingnya keselamatan bekalan tenaga.
“Bagi Turkiye, kami sedang giat berusaha meningkatkan sumber tenaga kami sendiri.
“Kami tidak menganggap Iran akan menghentikan bekalan gas asli ke Turkiye.
“Ketika ini, bekalan gas asli kami dari Iran berjalan lancar dan kami tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya.
Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran pada 13 Jun lalu, termasuk kemudahan tentera dan nuklear, dengan mendakwa Tehran hampir menghasilkan bom nuklear.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Iran kemudian melancarkan serangan balas dengan menggunakan peluru berpandu dan dron, manakala AS menyertai konflik itu dengan mengebom tiga tapak nuklear Iran pada Ahad lalu.
Selepas 12 hari pertempuran udara antara dua musuh ketat serantau itu, Trump pada Isnin lalu mengumumkan gencatan senjata Israel-Iran untuk menamatkan konflik berkenaan.
Mengulas lanjut, Erdogan berkata: “Kami mengadakan pertemuan yang produktif dengan rakan saya, Trump, dan membincangkan hubungan dua hala, kerjasama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serta isu serantau dan global.
“Kami menyampaikan pendekatan berorientasikan penyelesaian kami mengenai isu serantau kepada Trump, dan mengharapkan sokongannya dalam hal ini.
“Trump memberikan maklum balas positif terhadap cadangan kami,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

