Menara KL: Mahkamah Tolak Penghinaan Dari Hydroshoppe

Roz Mawar turut menolak permohonan injuksi ad interim oleh Hydroshoppe dan Menara KL bagi menyerahkan semula konsesi pengurusan Menara KL pada 9 Jun 2025.

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan penghinaan exparte yang difailkan Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd terhadap lapan pihak termasuk Kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan beberapa individu lain.

Hakim, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas berpuas hati plaintif gagal membuktikan prima facie dalam permohonan itu.

Roz Mawar turut memerintahkan plaintif, Hydroshoppe dan Menara Kuala Lumpur yang diwakili peguam Vinayak Sri Ram membayar kos RM15,000 kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia manakala RM10,000 kepada pegawai syarikat LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi, Fahmi dan kerajaan dalam prosiding yang berlangsung pagi tadi.

Sementara itu, Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.

Permohonan itu dikemukakan Hydroshoppe dan Menara KL susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei lalu menolak rayuan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur dan anak syarikatnya untuk mendapatkan injuksi ad interim untuk menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn Bhd.

Pada prosiding yang sama, Ros Mawar turut menolak permohonan injuksi ad interim oleh Hydroshoppe dan Menara KL bagi menyerahkan semula konsesi pengurusan Menara KL.

Untuk kes ini, mahkamah memerintahkan bayaran kos sebanyak RM20,000 kepada semua defendan yang sama.

Ros Mawar membuat keputusan itu dengan alasan permohonan itu sudah menjadi akademik susulan kontrak asal konsesi telah tamat pada Mac 2022.

Mahkamah juga menetapkan 14 Julai depan untuk prosiding seterusnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *