Polis Siasat Dakwaan Bas Bawa Pelajar UPSI Dipandu Laju

Keadaan bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI serta pemandu dan kelindan di Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun 2025.
GERIK, 9 Jun – Polis akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi, dipandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan segera.

“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Gerik di sini.
Terdahulu tular kenyataan di laman sosial oleh seorang individu mendakwa bas terbabit memotong kenderaannya dan dipandu laju hingga membawa kepada kemalangan berkenaan.
Difahamkan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, di sini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bersama pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Kerja Raya (KKR).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
