UCL: Faktor Isak Bakal Bantu Liverpool?

Mohamed Salah dan Dominick Szobozslai terus menjadi sandaran Liverpool memulakan tirai UCL menanti ketibaan Atletico Madrid awal pagi 18 September 2025. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 17 Sep – Tidak alpa dengan kemenangan bersih dalam empat aksi awal Liga Perdana Inggeris (PL), Liverpool masih tidak mendabik dada bagi membuka tirai saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini menentang Atletico Madrid di Anfield awal pagi esok.

Walaupun berjaya mengutip mata maksimum, jentera serangan Liverpool dilihat masih belum benar-benar tajam apabila mereka memerlukan 10 minit terakhir perlawanan untuk meledak gol kemenangan.

Bagaimanapun, kapten The Reds, Virgil Van Dijk kekal yakin dengan pendekatan pengurus pasukan, Arne Slot memandangkan Liverpool kini dibarisi ramai penyerang hebat termasuk dengan kehadiran Alexander Isak.

Arne Slot mengakui jaringan penalti Mohamed Salah menyelamatkan Liverpool daripada kebuntuan berdepan Burnley di Turf Moor pada 14 September 2025. Foto Liverpool FC

Penyerang antarabangsa Sweden itu tidak diturunkan ketika menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor pada Ahad lalu.

“Pengurus tahu apa yang dia lakukan dan dia juga yakin terhadap saya serta semua pemain pertahanan lain. Pada akhirnya, kami akan melakukan tugasan bertahan dan menyerang secara berpasukan.

“Apa yang saya tahu, tiada lagi keraguan kehadiran pemain baharu membawa kualiti ke dalam pasukan dan semua orang mempunyai peranan sendiri. Apa yang penting kami kena bersedia dan kekal cergas untuk bermain.

Latihan pertama Alexander Isak di kem latihan Liverpool berjalan lancar setelah berjaya keluar dari ‘kepompong’ Newcastle United pada 1 September 2025. Foto Liverpool FC

“Kami kena berada pada tahap terbaik kerana inilah tanggungjawab yang kami pikul. Semua orang akan terus membantu antara satu sama lain untuk jadi yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, empat kemenangan Liverpool ketika ini terhasil daripada gol kemenangan lewat iaitu selepas minit ke-83, paling banyak dalam statistik mana-mana kelab Inggeris setakat ini.

Tetapi dengan kehadiran Isak yang dinanti-nantikan penyokong The Reds mungkin menambah semangat Cody Gakpo, Hugo Ekitike dan Salah sendiri awal pagi esok.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *