Masa Untuk Teruskan Kerja Usai Pengunduran Rafizi, Nik Nazmi

Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada masalah untuk meneruskan tugas di sebalik pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi. Foto JPA
PENDAPAT, 31 Mei – Kata pepatah, yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Yang sakit akan sembuh dan yang terluka pasti dapat diubati.
Bukan untuk menyedapkan hati mana-mana pihak namun itulah dia: kini masa untuk kembali fokus meneruskan kerja demi rakyat dan negara serta tidak lagi perlu hiruk-pikuk mempertikai apa sahaja tanpa memikirkan kesannya terhadap parti dan kerajaan.
Kekalahan dalam pemilihan KEADILAN 2025 yang menjadi sebab pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada barisan kabinet tidak harus dilihat sebagai satu kehilangan arah dalam landskap politik Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.

Sebaliknya, langkah ini membuka ruang yang luas untuk proses pembaharuan serta penyegaran idea yang amat diperlukan dalam memastikan kelangsungan agenda reformasi yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.
Kita ucapkan jutaan terima kasih buat kedua-dua tokoh ini yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam pentadbiran negara terutama dalam aspek dasar ekonomi, pembangunan lestari dan agenda hijau yang mendukung transformasi negara.
Namun, dalam mana-mana kerajaan yang mengamalkan sistem Westminster, pertukaran kepimpinan adalah lumrah bagi memastikan kesinambungan idea-idea segar serta memberi peluang kepada pemimpin muda yang lain untuk tampil dengan visi dan pendekatan baharu.

Pengunduran mereka juga wajar dilihat sebagai satu strategi untuk memperkukuh parti dan kerajaan daripada segi keupayaan strategik, di mana barisan pelapis akan diberikan ruang untuk membuktikan kemampuan mereka meneruskan legasi reformasi yang diperjuangkan selama ini.
Dalam konteks Malaysia MADANI, ini penting agar kerajaan kekal dinamik, berdaya tahan dan relevan dengan cabaran semasa, termasuk dalam menangani isu-isu seperti ekonomi rakyat, kesejahteraan sosial dan kemampanan alam sekitar.
Biarpun berkali-kali ditegaskan bahawa mereka yang kalah dalam pemilihan parti tidak terkesan dalam kabinet, namun mereka mungkin mempunyai alasan tersendiri yang sukar dimengerti sesiapa pun terutama yang sedikit emosi di media sosial.

Apa sekalipun, kepimpinan kerajaan mesti diteruskan yang dapat memacu kerjasama lebih erat dalam kalangan generasi pemimpin yang berbeza latar belakang serta membuka ruang kepada idea-idea yang lebih kreatif dan inklusif.
Ini secara tidak langsung akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan MADANI dalam mentadbir negara dengan penuh integriti dan kebertanggungjawaban.
Justeru, pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi bukanlah titik noktah kepada reformasi, sebaliknya satu detik kebangkitan untuk pemimpin baharu menyambung perjuangan demi Malaysia yang lebih progresif dan maju.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
