KEADILAN Teliti Permohonan Tengku Zafrul, Ambil Kira Semua Pandangan – Fuziah

Tengku Zafrul (kanan) menyantuni sahabat handai dan keluarga dalam majils doa selamat sebelum berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji musim 2025. Foto Facebook Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) belum menerima permohonan rasmi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu setakat ini.
Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh, bagaimanapun berkata, semua permohonan keanggotaan KEADILAN dilakukan melalui kaedah permohonan secara dalam talian.
“Setiap permohonan akan melalui proses biasa, yang mana selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan diproses dan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Permohonan itu akan dipertimbang sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya semalam.
Beliau berkata, parti turut dimaklumkan Tengku Zafrul akan menunaikan haji dan mendoakan beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji mabrur.
Tengku Zafrul dalam kenyataan malam kelmarin, mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam UMNO dan menyatakan kesediaan menyertai KEADILAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

Sementara itu pelbagai reaksi mula diterima melalui media sosial sejak malam tadi sebaik pengumuman Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
