PM Anwar Tiba Di Singapura Hadiri Dialog Shangri-La, Ketemu Presiden Tharman, PM Wong

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Dr Vivian sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La ke-22 di Singapura pada 31 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SINGAPURA, 31 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura hari ini untuk menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-22, iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari ke republik itu.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 11.39 pagi dengan disambut Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau dijadual menuju ke Hotel Shangri-La di Orange Grove Road untuk menyertai persidangan berkenaan dan menyampaikan Ucapan Khas pada 2.45 petang.

Sebelum itu, Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.
Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Boeing Global merangkap Naib Presiden Kanan Boeing Company, Dr Brendan Nelson, di luar sesi dialog berkenaan.
Turut berada di Singapura ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang tiba lebih awal pada Jumaat bagi menyertai dialog itu.

SLD edisi ke-22 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat menyaksikan penyertaan daripada 47 negara, termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta tokoh akademik terkemuka.
Sementara itu, Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Perdana Menteri Lawrence Wong.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
