Maritim Malaysia Tingkatkan Tahap Siap Siaga Kawal Perairan Negara – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada majlis bacaan yaasin dan doa selamat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke- 19 (HUT19) Maritim Malaysia di Masjid Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan. Foto Facebook APMM
KUANTAN, 15 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu tingkat tahap siap siaga mengawal perairan negara yang berkeluasan 556,285 kilometer persegi daripada segala ancaman jenayah laut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada agensi keselamatan itu untuk mengawal perairan negara daripada ancaman jenayah laut.
Menurutnya, oleh itu, kerjaya dan tugas sebagai penguat kuasa Maritim Malaysia sangat penting kerana melindungi perairan dan kedaulatan negara.
“Justeru, seluruh pegawai dan anggota Maritim Malaysia perlu sentiasa siap siaga memberikan khidmat dan bakti kepada negara kerana tugas dan tanggungjawab ini akan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini bersama lebih 500 jemaah yang terdiri daripada pegawai dan anggota Maritim Malaysia, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin; Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Mohd Norzam Mustapa.
Majlis itu diadakan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke- 19 (HUT19) Maritim Malaysia di Masjid Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dekat sini.
Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan sesi Ceramah Agama oleh Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham, dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan ceramah bertajuk ‘Israk Mikraj Suatu Perjalanan Agung Rasulullah SAW Suatu ketahanan Jiwa dan Spritual Rasulullah SAW’ sebagai mentor perjuangan APMM.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib dan solat hajat berjemaah serta bacaan Yassin dan doa selamat yang dipimpin oleh Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
