Agong Perkenan Tubuh RCI Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Istana Negara pada Rabu.
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Ia selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim turut memperkenan lantikan tujuh Pesuruhjaya RCI yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali yang bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.
Turut dilantik sebagai ahli ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; mantan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Profesor Datin Dr Faridah Jalil.

Selain itu ia turut disertai Pegawai Kewangan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah sebagai ahli.
“Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman juga diperkenan Sultan Ibrahim sebagai Setiausaha RCI,” kata bahagian itu pada Rabu selain menambah BHEUU akan bertindak sebagai urusetia RCI.
Batu Puteh ialah sebuah batu tunggal kira-kira 7.7 batu nautika (14km) di selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44km) dari timur Singapura.
Ia kini menjadi milik republik itu susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.
ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
