Malaysia, Mesir Sepakat Lonjak Hubungan Kedua-Dua Negara Pelbagai Bidang – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janerio pada 7 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
RIO DE JANERIO, 7 Jul – Malaysia dan Mesir sepakat untuk melonjakkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di sini hari ini.
“Turut dibincangkan adalah terkait perkembangan terkini di Gaza serta situasi kemanusiaan di Iran.

“Kuala Lumpur dan Kaherah juga sepakat bahawa sebarang bentuk serangan dan penindasan oleh rejim Israel mesti dihentikan segera dan komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap pencabulan hak asasi yang berterusan,” ujar Anwar.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 21.4 peratus kepada RM3.0 bilion (US$648.0 juta) berbanding RM2.4 bilion (US$545.5 juta) bagi tempoh sama pada 2023.
Tahun lepas, Mesir merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Afrika.
Terdahulu Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB) serta mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin dari India, Brazil, Vietnam dan Ethiopia.
Anwar kini berada di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Perkumpulan BRICS yang berperanan sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Selatan Global dengan kerjasama yang merentasi pelbagai sektor, pada awalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.
Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2011 dan seterusnya Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023 serta Indonesia pada 2024.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
