Polis Lumpuhkan Operasi Judi Haram Dalam Talian

Suspek bersama barang disyaki digunakan dalam perjudian dalam talian dibawa ke IPD Tawau bagi tindakan lanjut. Foto Facebook JPJKK Kontinjen Sabah

TAWAU, 7 Jul – Kegiatan haram seorang lelaki dipercayai ejen perjudian dalam talian terbongkar apabila pondok di kawasan Tanah Merah, Batu 2, Jalan Apas, di sini, diserbu, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau hasil maklumat orang awam yang disalurkan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan itu, sebelum tindakan serbuan dilakukan di kawasan berkenaan.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian termasuk beberapa unit peranti elektronik dan sejumlah wang tunai.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dari pondok berkenaan yang terletak agak tersorok dari kawasan penempatan utama.

“Turut dirampas dalam serbuan itu adalah telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai yang dipercayai hasil daripada kegiatan perjudian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Jasmin menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian dan jenayah lain kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi seperti aplikasi VSP.

Katanya, kerjasama awam amat penting dalam membanteras kegiatan haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif termasuk masalah kewangan, keruntuhan institusi keluarga serta peningkatan kes penipuan dan jenayah kekerasan.

“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian di daerah ini, dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *