Malaysia Catat Skor 75 Dalam ‘Robust Data Governance’, Tekankan Peranan Digital ASEAN

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hadir pada Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di Kuala Lumpur pada 23 September 2025. Foto MCMC
KUALA LUMPUR, 23 Sep – Malaysia mencatatkan skor 75 bagi Indeks Robust Data Governance di bawah GSMA Digital Nation Index, mencerminkan rangka kerja peraturan yang kukuh serta komitmen kerajaan dalam melindungi data, menjaga privasi dan membina keyakinan awam, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata, skor itu juga menonjolkan usaha berterusan Malaysia mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan diyakini.
“Berdasarkan pencapaian ini, kita meneliti GSMA Digital Nations ASEAN Report 2025. Laporan yang dibentangkan hari ini mengenal pasti bidang utama yang perlu dipertingkatkan, bermula dengan infrastruktur digital.

“Pengendali rangkaian mudah alih negara telah membina asas kukuh untuk inovasi, dan adalah penting untuk kita meneruskan momentum ini,” katanya dalam ucapan pada Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di sini hari ini.
Teo turut menegaskan laporan itu mengiktiraf kekuatan Malaysia dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri.
“Rakyat kita adalah aset terbesar, dan dalam ekonomi digital yang pantas berubah hari ini, mereka memahami bahawa pembelajaran tidak pernah terhenti,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kepercayaan merupakan asas utama sesebuah negara digital, dan bagi ASEAN, membina kepercayaan digital bermaksud memastikan perlindungan privasi data, memperkukuh keselamatan siber, melindungi daripada ancaman baharu serta mewujudkan persekitaran di mana perniagaan dan penduduk berasa yakin untuk turut serta.
“Di ASEAN, ekonomi digital kini dianggarkan bernilai sekitar USD300 bilion dan dijangka melepasi USD$1 trilion menjelang 2030.
“ASEAN perlu memanfaatkan kuasa transformatif teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), data raya, rantaian blok (blockchain) dan pengkomputeran awan (cloud computing) untuk membangunkan komuniti digital yang inovatif dan inklusif,” katanya.

Menyorot peningkatan ancaman siber di rantau ini, Teo berkata ia didorong oleh peningkatan keterhubungan, kepesatan teknologi serta kepentingan geopolitik ASEAN yang semakin meningkat.
“Keselamatan siber yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan badan antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada strategi serantau serta mekanisme perkongsian maklumat.
“Pengukuhan dan pengemaskinian rangka kerja perundangan amat penting untuk membanteras jenayah siber serta menangani ancaman yang sentiasa berubah,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
