Lawatan Rasmi PM Anwar Cerminan Persahabatan Utuh Malaysia-Timor-Leste

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta dan Xanana Gusmão pada hari pertama lawatan bersejarah dua hari pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DILI, 23 Sep – Lawatan rasmi sulung selama dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste mencerminkan persahabatan utuh antara kedua-dua negara serta sokongan konsisten Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan republik berkenaan.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada jam 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia).

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Presiden, Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao dalam sambutan penuh mesra.
Majlis sambutan ketibaan Perdana Menteri turut diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik diikuti penyampaian simbolik kain Tais iaitu tekstil tenunan tradisional yang sarat dengan nilai budaya dan warisan masyarakat Timor-Leste serta persembahan oleh kumpulan kebudayaan dan pancaragam sekolah.

Dalam satu upacara penuh simbolik dan jarang berlaku, Anwar dijemput menyertai Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan klasik dengan bumbung terbuka yang merupakan pemandangan ikonik dalam acara kenegaraan di Timor-Leste.
Ramos-Horta memandu sendiri kenderaan itu, dengan Anwar duduk di tempat penumpang hadapan di sebelahnya manakala Gusmão mengambil tempat di belakang mereka.

Penggunaan Mini Moke, yang sinonim dengan gaya peribadi Ramos-Horta dan pendekatan mesra rakyat beliau, memberikan sentuhan budaya yang unik ketika ketiga-tiga pemimpin bersama-sama melakukan perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah hotel berdekatan.
Anwar kemudiannya diberi sambutan penuh istiadat di Istana Presiden, sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta.

Dalam sidang media bersama, Perdana Menteri menegaskan keutamaan hubungan dua hala yang merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan.
“Lawatan ini penting kerana memberi makna besar, kefahaman dan mengetengahkan sejarah bersama kedua-dua negara, selain sokongan konsisten Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan Timor-Leste,” kata Anwar.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia menantikan peluang untuk meraikan keanggotaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Sementara itu, Ramos-Horta mengumumkan, Anwar akan dikurniakan anugerah tertinggi negara itu, ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting beliau dan Malaysia dalam menyokong aspirasi Timor-Leste menyertai ASEAN, khususnya ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
