Malaysia Berjaya Kemudi ASEAN Penuh Yakin Di Tengah Perubahan Dunia – PM Anwar

Kejayaan Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025 mempamerkan kekuatan sebenar ASEAN yang berpaut kepada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara anggotanya. Foto YouTube Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kepengerusian ASEAN yang diterajui Malaysia berjaya menakhodai blok serantau itu dengan penuh keyakinan serta mengemudi rantau ini di tengah-tengah perubahan dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah menghidupkan semula dialog, membina jambatan kerjasama baharu dan membuktikan semangat ASEAN terus subur, dipandu kebijaksanaan, rasional serta tujuan bersama di bawah panji perpaduan dan keamanan.

ASEAN kini menjadi perhatian dunia apabila Kepengerusian Malaysia 2025 dipuji dalam pelbagai aspek termasuk perdamaian, peningkatan ekonomi dan menggerakkan kerjasama serantau dari 26 hingga 28 Oktober 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menutup tirai Kepengerusian Malaysia dengan sejarah yang terpahat di Kuala Lumpur, daripada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand hinggalah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0,” kata beliau sambil berkongsi sebuah video sorotan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau berkata, kekuatan sebenar ASEAN berpaut kepada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara anggotanya.

Anwar dan Dr. Wan Azizah menyambut kehadiran Presiden Timor-Leste, Jose Ramos Horta pada Majlis Makan Malam Gala ASEAN 2025 pada 27 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Tatkala teraju ini diserahkan kepada Filipina, Malaysia menatap kembali perjalanan ini dengan rasa syukur. Tidak semua kebuntuan terurai, namun setiap langkah berani telah melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kemesraan yang ditunjukkan kepada sahabat-sahabat serantau sepanjang tempoh kepengerusian negara dalam blok itu.

Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober 2025 lalu mencetuskan rasa bangga warganet kerana Malaysia menerima pujian dunia.

“Dunia sudah menyaksikan, inilah wajah sebenar Malaysia!” kata beliau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang melabuhkan tirai pada 28 Oktober lalu turut melakar beberapa pencapaian penting termasuk penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Sidang kemuncak itu juga menyaksikan detik bersejarah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Anwar selaku negara pengantara pada 26 Oktober lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *