Penahanan Penyanyi ‘Bae Soba Bae’, Lima Individu Dilanjut Sehingga 6 Julai

Kenderaan yang membawa Eda Ezrin dan suami serta empat rakan ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand pada 14 Februari 2025. Foto Yatimin Abdullah
NARATHIWAT, 4 Jun – Tempoh penahanan penyanyi dikir barat yang popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dilanjut sehingga 6 Julai depan.
Memetik laporan media Thailand, Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan Eda Ezrin, suami dan empat rakan mereka, atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Ini bermakna hasrat mereka berenam untuk merayakan Aidiladha bersama keluarga masing-masing, musnah dalam sekelip mata.
Susulan itu, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
Jurucakap mahkamah berkata, pendakwa raya mengemukakan permohonan lanjutan itu pada 30 Mei lalu.
“Ini adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sejak mahkamah membebaskan semua tertuduh pada 6 Mac lalu.
“Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


