Lelaki Pecah Cermin Kereta Di Lebuh Raya Ditahan Di Genting Highlands

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki warga asing berusia 40-an kini ditahan dalam siasatan ke atas kes pecah cermin kenderaan di lebuh raya pada Ahad.
JOHOR BAHRU, 12 Feb – Polis menahan seorang lelaki warganegara asing bagi membantu siasatan kes perbuatan khianat memecahkan cermin sebuah kenderaan di Kilometer 139.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah menahan lelaki berusia lingkungan 40-an itu kira-kira 3.30 pagi tadi di kawasan Genting Highlands serta merampas sebuah kenderaan.
“Lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dilaporkan polis sedang mengesan seorang pemandu kereta disyaki terlibat dengan perbuatan khianat memecahkan cermin sebuah kenderaan.

Polis menerima laporan kejadian berkenaan pada petang hari sama, susulan video tular yang dikongsikan seorang pengguna Facebook.
Menerusi rakaman video berdurasi 54 saat itu menunjukkan pergaduhan disyaki warga asing yang memandu kereta Mitsubishi Lancer bernombor pendaftaran Singapura dengan Toyota Fortuner.
Pemandu Toyota Fortuner dilihat menghalang kereta Mitsubishi Lancer sebelum pemandu warga asing itu cuba melanggar seorang lelaki yang memakai baju-T berwarna putih.
Pemandu warga asing kemudian bertindak keluar dari kereta dan cuba memukul lelaki tersebut menggunakan tongkat sebelum terkena cermin belakang Toyota Fortuner.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
