Lelaki Didakwa Rogol Anak Kandung, Hakim Tidak Benar Ikat Jamin

Tertuduh berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin. Foto Mohamad Shahjehan

SEREMBAN, 1 FebSeorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak perempuan kandungnya pada November tahun lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandung berusia 16 tahun enam bulan ketika kejadian, yang mana ia tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya, di sebuah rumah di Rembau pada 12 November 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin. Foto Mohamad Shahjehan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh, dan dikhuatiri mangsa akan diganggu tertuduh sekiranya ikat jamin dibenarkan.

“Pihak pendakwaan membantah jaminan diberikan. Mangsa juga telah dipukul oleh tertuduh selepas kejadian, dan tertuduh akan turut dituduh untuk kes itu,” kata Hsiao Tung.

Tertuduh dalam rayuan pula memohon maaf, dan memberitahu mahkamah bahawa dia sedang mabuk ketika kejadian pukul itu.

“Saya juga perlu menjaga bapa, dan saya kini orang kurang upaya (OKU) kerana pernah kemalangan yang menyebabkan sebelah mata rosak.

“Jadi, sukar saya hendak mencari kerja lain. Saya juga tiada pekerjaan tetap dan sekarang tinggal sendirian,” katanya.

Hakim kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan ikat jamin, dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan dibelasah oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga menerima 12 jahitan di kepala.

Kejadian itu dipercayai disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengadu kepada teman wanita bapanya dengan mendakwa dia dirogol lelaki berkenaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *