Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Indonesia Perkukuh Hubungan Erat Kedua-Dua Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 6 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia bermula Jumaat ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat selaku jiran tetangga.
Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu merupakan kunjungan balas susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia tahun ini bagi menghadiri pertemuan dua hala pada Januari dan April lalu serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei lalu.
“Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut aturcara rasmi, Anwar dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Prabowo bagi menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil ketiga-tiga sidang kemuncak itu serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Delegasi Perdana Menteri terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Untuk rekod, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia pada 2024 di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura.

Manakala nilai perdagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (US$25.5 bilion) berbanding RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) pada 2023.
“Sebagai negara tetangga serumpun yang terdekat dan berkongsi hubungan sejarah serta sebagai negara pengasas ASEAN, lawatan rasmi ini menzahirkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ASEAN secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
