Lawatan PM Australia Ke Malaysia Fokus Keselamatan Tenaga

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese tiba di Bandar Seri Begawan bagi memulakan lawatan dua hari ke Brunei sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada 15 April 2026. Foto X Anthony Albanese

SYDNEY, 14 Apr – Lawatan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ke Malaysia dari 15 hingga 17 April, disifatkan menjadi antara usaha kedua-dua negara untuk menguruskan risiko keselamatan tenaga susulan konflik di Asia Barat dan gangguan yang menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz.

Albanese yang mengadakan lawatan ke Singapura minggu lalu, juga untuk menguruskan bekalan bahan api dari republik itu, kini melawat Brunei sebelum mengakhiri lawatan ke Malaysia.

Pertemuannya dengan Perdana Menteri, Lawrence Wong berjaya meyakinkan Singapura dalam menjamin bekalan bahan api berterusan selepas tempoh dijangka sekitar Jun ini dengan Singapura menjadi sumber penting suku daripada bekalan tenaga negara itu.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, melalui kerjasama yang erat dengan Australia, Malaysia sedang berusaha untuk memastikan akses yang berterusan ke atas sumber kritikal, terutama gas asli cecair (LNG), yang diperlukan untuk penjanaan elektrik dan aktiviti perindustrian.

“Pada masa sama, lawatan berkenaan menghasilkan manfaat yang nyata dalam bidang keselamatan makanan, pelaburan dan teknologi, yang kesemuanya menyumbang kepada pendedahan yang berkurangan terhadap kejutan luaran dan menyokong daya tahan ekonomi.

“Langkah ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI dalam menggabungkan hala tuju dasar yang jelas dengan penyampaian yang ketara apabila kerjasama antarabangsa diteruskan atas dasar situasi yang saling menguntungkan untuk memastikan manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

Albanese dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada petang esok (15 April) dari Bandar Seri Begawan, Brunei bagi tujuan serupa.

Beliau akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada Khamis, diikuti dengan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran MoU mengenai Perkongsian Starategik Daging Merah Halal (SHRP) dengan memorandum bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Albanese kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Australia adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *