Larangan Anggota Pentadbiran Tanding Jawatan Persatuan Sukan Kekal – Fahmi

Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu adalah untuk memastikan anggota pentadbiran kerajaan kekal dengan amalan tidak terbabit dalam perkara berkenaan.
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk mengekalkan keputusan dibuat Kabinet pada 2007 supaya tiada mana-mana anggota pentadbiran termasuk menteri dan timbalan menteri dibenarkan menjadi presiden dalam mana-mana persatuan sukan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu adalah untuk memastikan anggota pentadbiran kerajaan kekal dengan amalan tidak terbabit dalam perkara berkenaan.
Serentak dengan keputusan itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi mengumumkan penarikan diri daripada bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada kongres yang akan berlangsung 7 September ini.
“Pada hari ini Jemaah Menteri telah membuat keputusan bahawa anggota pentadbiran yakni menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri tidak dibenarkan untuk menjadi presiden mana-mana persatuan sukan.
“Maka saya sama seperti Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), mengumumkan bahawa saya tidak akan bertanding bagi jawatan Presiden KLFA,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

