Penilaian Cerun Berisiko Secara Berkala Mampu Kurangkan Kebimbangan Penduduk – Andre Lai

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur Andre Lai (dua dari kanan) bersama para pegawai DBKL berbincang langkah seterusnya bagi memastikan runtuhan tebing konkrit di Taman Bunga Raya, Kuala Lumpur tidak berulang. Foto Andre Lai
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar melakukan penilaian cerun berisiko secara berkala bagi memastikan integriti benteng penahan tanah dan keselamatan penduduk terus dipelihara.
Cadangan tersebut disuarakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur Andre Lai yang menyifatkan perubahan iklim secara ekstrim mendorong penilaian berkenaan dilakukan dengan lebih bersistematik.
“Selain kaedah manual di lapangan, saya berpandangan PBT wajar melakukan pemantauan dan pemerikasaan ceru secara digital menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meramal dan mengenal pasti cerun berisiko bagi tindakan lanjut,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, beberapa langkah tambahan turut dicadangkan antaranya pembinaan saliran lebih baik serta penjadualan semula sistem penyelenggaraan cerun diperbaiki dari semasa ke semasa.
Keadaan cuaca pada musim tengkujuh serta topografi dan hidrologi juga wajar diambil kira PBT yang boleh mendapatkan pandangan dan nasihat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Terdahulu beliau mengulas tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik kontraktor bagi mengukuhkan cerun susulan kejadian runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn minggu lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kerja-kerja meletakkan kanvas di kawasan runtuhan telah dilaksanakan dan pihaknya setakat ini tidak menerima laporan mengenai sebarang pergerakan tanah di kawasan itu.
“Sebanyak 13 kediaman terlibat dalam kejadian itu dan semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Bunga Raya.
“Daripada jumlah itu, sebuah rumah dilaporkan dalam keadaan serius manakala dua lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya pada sidang media di sini malam ini selepas melawat lokasi wanita warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Maimunah berkata penduduk juga dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah sehingga penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan kawasan itu selamat.
Media melaporkan JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan di Taman Bunga Raya runtuh kira-kira 5.40 petang semalam sehingga menjejaskan sebuah rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
