Langkah Tepat KEADILAN Saman 16 MP, ADUN Pulih Imej Parti

Tindakan KEADILAN memfailkan saman sebanyak RM10 juta setiap seorang ahli parlimen dan ADUN membuktikan parti itu memulihkan integriti dan maruah parti di mata rakyat.
PENDAPAT, 7 Mac – Keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas dakwaan melanggar syarat bon berjumlah RM10 juta selepas meninggalkan parti itu, enam tahun lepas, bukan hanya disebabkan wang atau peraturan yang ditetapkan oleh parti kepada mereka.
Ia sebenarnya membawa kepada naratif memulihkan imej dan maruah parti yang tercalar apabila mereka membuat keputusan mengkhianati mandat rakyat yang diamanahkan kepada mereka menerusi logo parti yang berkibar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 lalu.
Bukan setakat saman tersebut dikemukakan kepada mereka, tetapi ia juga memberi maksud mana-mana ahli parlimen atau ADUN yang khianat kepada parti mesti bersedia untuk disaman serta menjadi pengajaran kepada mereka yang mahu bertanding atas tiket parti pada masa depan.

Walaupun akta anti-lompat parti belum lagi berkuat kuasa pada waktu itu tetapi KEADILAN telah mengambil tindakan sedemikian bagi mencegah mana-mana ahli parlimen atau ADUN daripada melompat parti biarpun ‘Langkah Sheraton’ tetap menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti selaku plaintif dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lepas.
Kesemua 16 ahli parlimen dan ADUN itu ialah Baru Bian (Parlimen Selangau), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk R Santhara Kumar (Segamat) sebagai defendan.

Selain itu turut dinamakan defendan ialah Abdul Yunus Jamhari (DUN Kuala Kurau), Datuk Azman Nasrudin (DUN Lunas), Dr Afif Bahardin (DUN Seberang Jaya), Chong Fat Full (DUN Pemanis), Daroyah Alwi (DUN Sementa), Haniza Mohamed Talha (DUN Taman Medan), Muhammad Hilman Idham (DUN Gombak Setia), Muhammad Jailani Khamis (DUN Rembia), Robert Ling Kui Ee (DUN Sidam) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sungai Acheh).
Berdasarkan saman itu, KEADILAN mendakwa, di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding dalam PRU-14 dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya telah membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa buah kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, setiap defendan telah berhenti dari terus menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti.
“Mereka juga telah menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain parti KEADILAN,” dakwa KEADILAN dalam pernyataan tuntutan itu.
KEADILAN berkata pada 11 Mac 2020, parti telah memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan berkuat kuasa serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan bahawa keahlian setiap defendan dalam parti telah ditamatkan.

“Disebabkan perkara-perkara yang diplidkan di atas, setiap defendan telah melanggar bon, sekaligus mencetuskan kewajipan untuk membayar sejumlah RM10 juta yang perlu dibayar dalam tempoh tujuh hari.
“Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, KEADILAN telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah tersebut, namun defendan-defendan telah gagal membayar jumlah bon berkenaan,” dakwanya.
Sebagai contoh, Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun tahun lalu, memberi kebenaran kepada KEADILAN untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah yang perlu dibayar oleh bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti itu.
Permohonan itu, yang dibenarkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, merupakan syarat bagi membolehkan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 11 Disember 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Ini sekali gus memberi bukti bahawa KEADILAN tegas dalam mempertahankan integriti parti di mata rakyat dan memastikan mandat yang diberikan kepada parti melalui calon-calonnya tidak mudah untuk dipermainkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

