Nuzul Quran: Ambil Ibrah, Sejarah Al-Quran Jadi Wahana Bimbing Umat Islam – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan peringatan kepada umat Islam sempena sambutan Nuzul Quran pada 7 Mac 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Sejarah yang terpahat dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan, malah menjadi wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia, mengambil ibrah daripada pengalaman silam dan membimbing umat menghadapi cabaran semasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ingatan itu disampaikan Perdana Menteri sempena sambutan Nuzul Quran hari ini, sambil menyatakan, Ramadan bukan sekadar sarat dengan rutin ibadah puasa, tilawah al-Quran dan tarawih, tetapi turut mengangkat peristiwa agung penurunan wahyu yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa.
“Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran,” ujar Anwar menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata al-Quran bukan sekadar memenuhi maqasid penurunannya dalam memperkukuh akidah dan memuliakan insan, tetapi juga merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul sebagai pedoman umat.
“Moga kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah kita, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban,” kata Perdana Menteri.
Untuk rekod, umat Islam meraikan Nuzul Quran setiap 17 Ramadan bagi memperingati mukjizat agung yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi umatnya sebagai pedoman dan bekalan di dunia dan di akhirat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
