Langkah Qatar Meterai Gencatan Senjata Redakan Ketegangan Di Asia Barat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) berjaya meredakan ketegangan di Asia Barat.

Menerusi perbualan telefon yang dikongsi di Facebook pada Selasa, Perdana Menteri menyifatkan tindakan itu sebagai satu langkah penting yang mengelak daripada berlaku pertembungan dan konflik lebih besar di rantau berkenaan.

“Saya turut berhubung dengan Emir Qatar, Yang Amat Mulia Sheikh Tamim Hamad Al Thani, petang tadi.

“Saya merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan AS.

“Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat,” kata Anwar.

https://www.facebook.com/share/p/1AmdUPyKuZ/?mibextid=wwXIfr

Sheikh Tamim turut memaklumkan, meskipun Qatar berada dalam kedudukan sukar tatkala turut terheret dalam konflik itu, beliau tetap memilih untuk melihat gambaran lebih besar demi keamanan serantau.

“Saya menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini, termasuk peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dengan Israel,” katanya.

Anwar berkata, Sheikh Tamim turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden AS, Donald Trump, dan berbicara mengenai usaha damai berkenaan.

“Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa AS menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan.

“Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *