La Liga: Peluang Mourinho Kembali Ke Bernabeu Tertutup

Jose Mourinho (kiri) berkata sesuatu kepada pemain Real Madrid, Vinicius Jr ketika aksi play-off Liga Juara-Juara Eropah pada 19 Februari 2026.

MADRID, 22 Feb – Peluang Jose Mourinho untuk mengendali Real Madrid sekali lagi dilaporkan sudah tertutup susulan kenyataannya berhubung isu perkauman membabitkan Vinicius Jr.

Menurut laporan media Sepanyol, Real Madrid tidak melihat bekas jurulatih mereka itu sebagai calon sesuai untuk menggantikan Xabi Alonso sebagai pengurus tetap seterusnya.

Buat masa ini, Alvaro Arbeloa diberi tanggungjawab menstabilkan pasukan dan masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim depan.

Pengurus terkenal Jose Mourinho dipecat sebagai jurulatih kelab Serie A Itali, AS Roma pada 2023. Foto Getty Images

Sebelum kontroversi tercetus, Mourinho sendiri menegaskan “langsung tiada peluang” untuk beliau kembali membimbing Los Blancos.

Isu berkenaan timbul selepas Real mencatat kemenangan 1-0 ke atas Benfica dalam aksi pertama kalah mati Liga Juara-Juara hasil jaringan menarik Vinicius Jr.

Namun ketika meraikan gol, Vinicius dan beberapa rakan sepasukan mendakwa pemain Benfica, Gianluca Prestianni, mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman. Prestianni menafikan dakwaan itu dan siasatan FIFA sudah dibuka.

Selepas perlawanan, Mourinho menerima kecaman apabila kenyataannya dilihat seolah-olah menyalahkan Vinicius.

“Apabila anda menjaringkan gol seperti itu, anda meraikannya dengan hormat. Saya fikir dia membakar suasana.

“Mereka berdua memberitahu saya perkara berbeza, tetapi saya mahu bersikap neutral. Jika dalam fikirannya ada isu perkauman, itu bukan Benfica. Kelab ini bukan perkauman,” kata Mourinho.

Prestianni kemudian mengeluarkan kenyataan menegaskan beliau tidak pernah melontarkan kata-kata berunsur perkauman dan kesal dengan ancaman yang diterima.

Walaupun Mourinho dan presiden Real, Florentino Perez, masih mempunyai hubungan baik, laporan menyatakan ia tidak akan membawa kepada pertemuan semula secara profesional di Santiago Bernabeu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *