Kunjungan ConocoPhilips Serlah Keyakinan Dasar Mesra Pelabur

Kunjungan hormat CEO ConocoPhilips, Ryan Lance ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan keyakinan syarikat gergasi Amerika Syarikat itu terhadap dasar mesra pelabur Malaysia pada 18 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 19 Jun – Kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, Ryan Lance pada Rabu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan keyakinan syarikat gergasi itu terhadap dasar mesra pelabur yang diamalkan Malaysia.
Selain dasar mesra pelabur yang ditegaskan Perdana Menteri, ekosistem pelaburan serta guna tenaga berkemahiran tinggi turut menjadi elemen penting dalam membuat keputusan strategik syarikat bernilai berpuluh bilion dolar itu.

Untuk rekod, ConocoPhillip merupakan sebuah syarikat minyak terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak di peringkat global termasuk di negara ini.
Ia menjelaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap dasar yang jelas dan mesra pelabur yang diterapkan dan kini telah membuka mata syarikat gergasi termasuk Shell yang menyatakan komitmen pelaburan RM9 bilion pada Selasa.

Menurut Perdana Menteri, ia penting bagi memastikan keyakinan syarikat besar untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan jangka panjang serta menjadi peneraju peralihan tenaga mampan dan lestari.
Dalam pertemuan itu ConocoPhillips turut menyatakan komitmen berterusan mereka terhadap pelaburan di Malaysia, termasuk pembabitan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) di Sabah yang dikendalikan melalui anak syarikatnya, ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, bersama rakan strategik iaitu Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Kehadiran dan pelaburan syarikat-syarikat utama seperti ConocoPhillips amat penting dalam menjamin kestabilan serta kemampanan tenaga negara.
“Ia juga berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor minyak dan tenaga,” katanya melalui Facebook pada Rabu.

Amatlah jelas, dua syarikat gergasi dunia ini memberi contoh bagaimana singeri bersama kerajaan dapat membentuk kerangka kemampanan sumber dan tenaga serta memastikan kecekapan berterusan dapat dilakukan dalam jangka masa panjang.
Ia juga menunjukkan ketersediaan negara beralih kepada tenaga boleh baharu yang digariskan dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
