Kubur Pelatih Palapes Diarah Digali Semula

Ibu Syamsul Haris Shamsudin memohon mahkamah menggali semula kubur anaknya yang disyaki dibuli.
SHAH ALAM, 26 Ogos – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.
Sebelum ini, berdasarkan notis usul yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Ummu Haiman menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan
dengan kehadiran Pakar Forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.
Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Semasa prosiding, Ummu Haiman Bee diwakili peguam Datuk Naran Singh.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili responden pertama manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

