Terbuka AS: Venus Belum Fikir Masa Depan

Venus berjuang penuh semangat sebelum tunduk 3-6, 6-2, 1-6 kepada pilihan ke-11 dari Republik Czech, Karolina Muchova, di Stadium Arthur Ashe pada 25 Ogos 2025. Foto AFP
NEW YORK, 26 Ogos – Venus Williams enggan memberi kepastian mengenai masa depannya selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pemain berusia 45 tahun itu berjuang penuh semangat sebelum tunduk 3-6, 6-2, 1-6 kepada pilihan ke-11 dari Republik Czech, Karolina Muchova, di Stadium Arthur Ashe yang dipenuhi penonton.
Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya kembali beraksi Julai lalu selepas berehat 16 bulan dan menerima tiket wildcard ke undian utama Flushing Meadows, keputusan yang pada awalnya mencetuskan kritikan.
Namun, aksi bertenaga menentang lawan yang 16 tahun lebih muda daripada dirinya jelas membuktikan dia masih layak beraksi di pentas berprestij itu.
Venus mengakui tidak menjangkakan untuk bermain lagi tahun ini kerana enggan banyak mengembara, namun masih berteka-teki mengenai penyertaan di Terbuka Australia musim depan.
“Masih terlalu jauh untuk saya fikirkan. Matlamat saya sekarang adalah lakukan apa yang saya mahu lakukan,” kata juara Terbuka AS 2000 dan 2001 itu.
Dia turut menyatakan penghargaan kepada penganjur yang memberinya peluang kembali.
“Mereka boleh sahaja berkata saya sudah terlalu lama berehat atau gagal menang banyak perlawanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi ramai yang tetap percaya dan saya amat berterima kasih,” katanya.
Venus juara tujuh kali Grand Slam, turut membandingkan prestasinya kali ini dengan pertemuan menentang Karolina pada Terbuka AS 2020 apabila dia tewas straight set sambil menanggung kecederaan.
“Kali ini jauh berbeza. Saya rasa lebih selesa, tiada rasa sakit seperti dulu. Saya gembira kerana berpeluang bermain dalam keadaan lebih baik dan benar-benar dapat bersaing,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


