Krisis Tenaga Global: Kerajaan Ambil Langkah Selaras Tenaga Negara – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan di Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan pada 3 April 2026. Foto PMO
KUANTAN, 3 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam pelarasan pelaksanaan dasar negara, terutama untuk menangani kesan krisis tenaga global ketika ini.
Menurut hantaran di laman media sosial Facebook, Perdana Menteri berkata, perkara itu ditekankan pada Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan ketika lawatan kerja seharinya ke daerah berkenaan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pertahanan serta keselamatan negara telah dipertingkat demi memastikan kesejahteraan kerajaan dan rakyat.

“Berhubung peningkatan kos sara hidup rakyat, kerajaan giat mengambil pendekatan yang segera dan tuntas dalam memastikan rakyat dilindungi serta dipelihara dalam jangka pendek dan juga jangka panjang daripada tekanan ekonomi saat ini.
“Perkembangan ini terus dipantau dan ditangani oleh kerajaan dari peringkat awal bagi memastikan dampak secara langsung kepada ekonomi negara dapat diminimumkan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama erat Kerajaan Pahang, terutama daerah Kuantan, perlu memberi fokus khusus dan utama bagi memastikan projek-projek kecil dalam Rolling Plan yang telah diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) segera dilaksana supaya manfaat projek dapat dinikmati rakyat.
Menyentuh mengenai hal ehwal tanah dalam pelaksanaan projek, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan memberi penyelesaian yang sebaik mungkin kepada kerajaan negeri bagi terus memudahkan pelaksanaan projek yang telah diluluskan peruntukan, agar tidak tertangguh untuk tempoh lama.

Anwar berkata, terdahulu beliau diberi taklimat mengenai status dan kemajuan pelaksanaan projek Persekutuan dan inisiatif kerajaan negeri merangkumi isu kenaikan harga bahan pembinaan bagi institusi pendidikan seperti sekolah, penyelenggaraan saliran bagi kawasan tebatan banjir, dan lokasi yang tidak pernah mengalami banjir.
“Status kesejahteraan rakyat termasuk miskin tegar, indeks jenayah, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI, status pembangunan gerai di daerah Kuantan, dan cadangan projek Cakna MADANI juga telah dibentangkan.

“Selain itu, saya menekankan keutamaan peruntukan pembaikan atau meluaskan gerai peniaga-peniaga yang memerlukan di daerah Kuantan bagi meningkatkan tahap ekonomi majoriti rakyat dan tidak hanya menumpukan kepada projek-projek yang besar atau mega semata-mata,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta Majlis Daerah Kuantan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memantau keperluan pengusaha serta peniaga di gerai-gerai supaya mereka dapat melaksanakan perniagaan dengan lebih selesa dalam usaha meningkatkan pendapatan.

“Seperti yang telah saya putuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan perlu menyegerakan penyediaan tambahan kelas-kelas yang diperlukan untuk murid-murid berumur enam dan tujuh tahun bagi Tahun Satu yang akan memulakan sesi persekolahan pada 2027, termasuk keperluan di daerah Kuantan.
“Saya juga menyeru semua rakyat Pahang dan negara ini untuk sama-sama berdoa agar negara kita berada dalam keadaan terkawal, dapat bertahan dan mengharungi cabaran ekonomi yang terus menghimpit kita,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
