Krisis Tenaga Global: Bangladesh Potong 30 Peratus Bahan Api Untuk PM

Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, memaklumkan perkara itu dalam taklimat media dianjurkan Bahagian Kabinet pada 3 April 2026. Foto Reuters
DHAKA, 3 Apr – Kerajaan Bangladesh memutuskan untuk mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 30 peratus bagi kenderaan rasmi digunakan Perdana Menteri, menteri dan menteri negara.
Ia sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan drastik bagi mengurangkan perbelanjaan awam di tengah-tengah krisis tenaga global.
Keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada Khamis malam di Kompleks Jatiya Sangsad dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tarique Rahman, dimaklumkan dalam taklimat media dianjurkan Bahagian Kabinet pada Jumaat, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Mengikut keputusan itu, penggunaan bahan api bagi kenderaan kerajaan secara bulanan akan dikurangkan sebanyak 30 peratus, manakala penggunaan tenaga iaitu elektrik dan gas di pejabat kerajaan juga akan dipotong dengan kadar yang sama.
Kerajaan turut menggantung semua pembelian kenderaan, pengangkutan air, pesawat dan komputer dalam sektor awam sehingga ke satu tempoh ditetapkan kelak.
Kabinet juga membuat keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi pengindahan bangunan kediaman sebanyak 20 peratus dan bangunan bukan kediaman sebanyak 50 peratus.
Selain itu, pengambilan tanah juga akan ditangguhkan buat masa ini. – BERNAMA-UNB
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


