Krisis Makin Parah, Bersatu Dungun Gesa Muhyiddin Berehat Daripada Presiden

Muhyiddin Yassin dicadangkan supaya berehat daripada menjadi presiden Bersatu manakala Azmin Ali pula digantikan daripada menjadi Setiausaha Agung.
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ketika seluruh negara tertumpu kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, pembangkang terus bercakaran sesama sendiri yang kini sudah tidak dapat diselindungkan lagi.
Sebuah bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Terengganu menggesa presiden parti Muhyiddin Yassin berehat manakala Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertelingkahan terbuka antara beberapa pemimpin tertinggi parti itu.
Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Abdul Aziz Ismail berkata isu sedang dihadapi Bersatu kini berpunca daripada tindakan beberapa individu yang dilihat tidak lagi mempunyai relevansi dalam struktur pentadbiran parti.

“Saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk Bersatu mengambil langkah berani melaksanakan perubahan strategik demi masa depan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bahagian Dungun mengadakan mesyuarat pada 20 Oktober lalu dan mengusulkan tiga ketetapan utama sebagai langkah memperkukuh serta merejuvenasi parti bagi menghadapi PRU-16.
“Cadangan pertama, Muhyiddin disarankan mengambil langkah berehat daripada jawatan presiden bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu memperkukuh hala tuju organisasi.

“Cadangan kedua, Azmin Ali dicadang dilepaskan daripada jawatan bagi memulihkan imej serta integriti parti daripada isu-isu moral yang menjejaskan reputasi kepimpinan dan ketiga Tun Faisal Ismail Aziz digantikan dengan ketua penerangan yang lebih proaktif,” katanya.
Kenyataan Aziz itu dibuat sehari selepas Wan Saiful Wan Jan, yang baru-baru ini dipecat Bersatu, menyalahkan beberapa individu rapat dengan Muhyiddin kerana merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin — dengan menamakan Azmin dan Tun Faisal.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Bersatu melarang ahlinya daripada bertemu atau menghadiri program bersama individu yang dikenakan tindakan disiplin parti.

Sebelum dipecat, Wan Saiful merujuk Azmin dan Tun Faisal kepada lembaga disiplin parti berhubung ancaman yang didakwa dibuat terhadap ketua bahagian, susulan dakwaan wujudnya rancangan menggulingkan Muhyiddin sebagai presiden.
Beliau turut mengkritik keras Azmin, mendakwa bekas menteri besar Selangor itu tidak layak memimpin parti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
