Krisis Iran-Israel: Kedutaan Malaysia Di Tehran Ditutup

Serangan terbaharu Tel Aviv tidak menghalang Tehran terus melancarkan serangan peluru berpandu ke arah penempatan di utara Israel pada 20 Jun 2025. Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Kedutaan Malaysia menutup sementara operasi di Tehran, Iran berikutan krisis antara negara itu dan Israel kian memuncak.
Menurut kenyataan Wisma Putra, dengan keputusan itu, semua warga Kedutaan Malaysia di negara sedang bergolak itu pulang ke tanah air segera.
Malah, kenyataan itu mengesahkan banyak kedutaan negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik dua negara di Asia Barat itu.
Terdahulu, media melaporkan tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, awal pagi ini.
Ia termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, dalam apa yang digambarkan sebagai ‘serangan pembukaan yang berjaya’ oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
“Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta…semua rakyat Malaysia telah diminta keluar dari Iran.
“Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran,” katanya.
Sementara itu, serangan terbaharu Tel Aviv adalah tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel, beberapa jam sebelumnya.
Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil dilaporkan berkata rakyat Malaysia di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan, seawal Jumaat.
Fahmi berkata, menteri luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.
Semalam, media melaporkan, rakyat Malaysia yang terkandas di Iran akibat ketegangan Iran-Israel, dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.
Wisma Putra sudah menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

