Krisis Bersatu Bukti Pembangkang Makin Tak Relevan Tadbir Negara

Sedangkan parti-parti ‘nyamuk’ boleh hadir, takkanlah Pas sebagai ‘abang besar’ dalam blok pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) tidak dijemput ke mesyuarat sepenting itu?
PUTRAJAYA, 3 Nov – Kemelut yang memalukan seluruh negara kini dapat ‘disaksikan’ seluruh rakyat di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila satu demi satu kisah ‘tragis’ dibongkar susulan pemecatan ahli parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan sepenggal rakannya di Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini.
Daripada perbalahan kecil membabitkan isu pemilihan parti hinggalah surat bocor membabitkan tandatangan 16 ahli parlimen mendesak Muhyiddin Yassin berbuat sesuatu ekoran insiden Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, semuanya menunjukkan parti itu kini menunggu masa untuk ‘ditalkinkan’ menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah.

Seorang penganalisis berpandangan Muhyiddin seharusnya tidak berdiam diri membiarkan satu demi satu pembongkaran yang sedang berlaku menjadi bahan ketawa rakyat sementelah beliau merupakan seorang bekas perdana menteri yang kini terpalit dengan kes menantunya sendiri.
”Keyakinan pemimpin Bersatu kian terhakis tanpa siapa pun dapat menilai betapa mereka sudah boleh ditempah ‘batu nisan’ hanya kerana kes membabitkan Muhammad Adlan Berhan ini tidak dirungkai segera.

”Setelah tiga sebab atau faktor menjadi punca krisis ini berlaku, suka atau tidak, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab seperti mana yang dilakukannya ketika hilang sokongan ahli parlimen Umno untuk terus menjadi perdana menteri pada 2021,” ujarnya.
Jalan terbaik kini katanya, ialah mencari ruang untuk mengurangkan tekanan terhadap kes menantunya serta menjawab persoalan mengapa Lembaga Disiplin parti itu membuat tindakan keras ke atas dua ahli parlimen hingga menggugat keyakinan ahli mereka sendiri.

Pun begitu tambahnya, proses kehancuran Bersatu sudah pasti tidak sama sekali menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang kini mentadbir negara yang terus stabil di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 24 November 2022.
Sebaliknya, kemelut yang berlaku dalam parti pembangkang itu hanya akan melemahkan lagi keupayaan mereka untuk menyaingi kerajaan dari segi dasar, kepimpinan dan hala tuju politik nasional.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu memperlihatkan kerapuhan struktur serta ketidaksepakatan terhadap strategi politik yang sepatutnya memperkukuh kedudukan parti itu sebagai sebahagian daripada blok pembangkang utama.
Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilihat kekal kukuh dengan sokongan padu daripada parti-parti komponen serta kestabilan dalam kalangan anggota pentadbiran termasuk menaikkan gaji kakitangan awam paling tinggi dalam tempoh lebih 13 tahun.

Keutamaan kerajaan kini lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan reformasi institusi, berbanding melayani isu politik dalaman pihak lawan.
Manakala pergolakan dalaman Bersatu akan menjadikan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kemampuan pembangkang terutama Perikatan Nasional (PN) yang sebenarnya diterajui Pas dari segi jumlah kerusi parlimen untuk mentadbir negara dengan efektif.

Realitinya, perpecahan dan pertelingkahan dalam Bersatu hanya menguntungkan kerajaan yang semakin dilihat matang dan fokus dalam memacu agenda negara.
Penganalisis melihat sekiranya keadaan ini berterusan, pembangkang bukan sahaja kehilangan kekuatan politik, malah berisiko menjadi tidak relevan dalam landskap politik nasional menjelang pilihan raya akan datang.
Kesatuan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan inilah yang terus memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur bahawa pentadbiran negara berada di landasan yang kukuh serta berwibawa dalam meneruskan agenda pembangunan lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
