Bursa Malaysia Lonjak Lebih 13 Mata, Tertinggi Dalam Tiga Bulan

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.27 mata, atau 0.82 peratus, kepada 1,622.42 berbanding penutupan Jumaat lalu di 1,609.15 pada 3 November 2025. Foto Yahoo! Finance

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Bursa Malaysia melonjak lebih 13 mata ketika ditutup tinggi pada Isnin, didorong aktiviti pembelian semula selepas minggu lalu mencatat dagangan yang suram sejajar dengan prestasi positif pasaran serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.27 mata, atau 0.82 peratus, kepada 1,622.42 berbanding penutupan Jumaat lalu pada 1,609.15 yang juga merupakan paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.64 mata lebih tinggi pada 1,610.79 dan mencatat paras rendah 1,608.85 pada sesi dagangan awal sebelum memperoleh momentum sepanjang hari.

Keseluruhan pasaran mencatatkan penyebaran negatif dengan 762 kaunter rugi mengatasi 450 kaunter naik, manakala 520 kaunter tidak berubah, 905 tidak diniagakan manakala 13 digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 3.25 bilion unit bernilai RM2.48 bilion berbanding 3.55 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Jumaat lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau juga mencatat kenaikan, disokong keyakinan terhadap gencatan perdagangan AS-China dan minat berterusan terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan, sekali gus mengekalkan selera risiko yang sihat.

Pasaran serantau juga mencatat kenaikan, disokong keyakinan terhadap gencatan perdagangan AS-China dan minat berterusan terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan, sekali gus mengekalkan selera risiko yang sihat pada 3 November 2025. Foto Bernama

“Pada masa sama, pelabur tetap peka terhadap perkembangan utama, termasuk mesyuarat bank pusat AS minggu lalu dan persetujuan gencatan perdagangan AS-China selama setahun, yang secara keseluruhan menepati jangkaan,” katanya kepada Bernama.

Di bursa tempatan, Pak Leng menekankan bahawa indeks terus kekal kukuh di atas paras sokongan utama yang dilihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menandakan sentimen pelabur kekal teguh walaupun terdapat ketidakpastian global, manakala minat beli baharu khususnya pada sesetengah saham terpilih membantu menaikkan ton pasaran keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata saham perbankan mengetuai kenaikan dalam kalangan komponen FBM KLCI, disokong optimisme “potongan kadar tertunda” susulan pelonggaran dasar oleh Rizab Persekutuan AS minggu lalu dan jangkaan kestabilan dasar monetari domestik.

“Kami mengekalkan pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang bagi menyeimbangkan keperluan mengekalkan pertumbuhan sambil mengekalkan ruang monetari di tengah-tengah ketidakpastian luaran yang meningkat,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *