KPM Akan Perinci Pelaksanaan Pelajar Bersihkan Tandas Sekolah

Rangkuman foto tinjauan Fadhlina ke tandas di sekolah-sekolah sebagaimana yang diarahkan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Foto Twitter Fadhlina Siddiq.
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperincikan ruang pelaksanaan untuk melibatkan pelajar dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan memberikan impak dan nilai tambah kepada murid secara keseluruhan.

“Saya sambut baik saranan Perdana Menteri agar murid dilibatkan dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah,” ciapnya di Twitter pada Sabtu.
Pada Sabtu, Anwar membuat teguran bahawa kebanyakan tandas di sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan KPM memeriksa tandas-tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa.
https://twitter.com/fadhlinasiddiq/status/1664972146399903745?s=46&t=q5PBgu0OtUoPMUKGorY3CQ
Tambah Fadhlina, sesi turun padang dan lawatan kerja di sekolah juga turut melibatkan semakan status kebersihan serta penyelenggaraan tandas.
Penggiliran mencuci tandas juga antara perkara yang ditimbulkan Anwar ketika merasmikan medan selera D’Anjung Selera Madani di sini pada Sabtu.
Dalam ciapan itu juga, Fadhlina turut melontar cadangan sekolah mana yang beliau patut tinjau dahulu untuk melihat keadaan sebenar tandas.
“Sesi turun padang dan lawatan kerja di sekolah juga turut melibatkan semakan status kebersihan dan penyenggaraan tandas.
“Cuba komen di bawah, sekolah mana yang harus saya buat lawatan mengejut untuk lihat kondisi sebenar tandas.
“Jom!,” tambahnya.
