KPDN Patahkan Operasi Sindiket Seleweng Minyak Masak Subsidi

Pasukan penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jeram, Selangor yang disyaki menyeleweng minyak masak paket bersubsidi dalam serbuan Op Tiris 3.0 pada 6 Ogos lalu. Foto KPDN
KUALA SELANGOR, 10 Ogos – Kegiatan sindiket menyeleweng minyak masak subsidi dengan menyembunyikan bahan mentah itu di sebuah premis di Jeram, Selangor, terbongkar dalam serbuan Op Tiris 3.0 pada Selasa lalu.
Malah, sindiket itu turut dikesan membungkus semula minyak masak berkenaan untuk dijual sebagai minyak masak tidak bersubsidi.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bermula jam 2.30 petang pada 6 Ogos lalu.
Katanya, serbuan terbabit adalah hasil risikan yang dilakukan pihak KPDN selama beberapa hari sebelum operasi berkenaan dijalankan.
“Hasil maklumat awal diperoleh, sindiket itu disyaki membeli minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram berkenaan yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.
“Minyak masak paket 1 kg berkenaan kemudian akan dipotong dan dipindahkan ke
dalam tangki silinder serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Azman berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan di premis itu menemui sebuah lori dengan muatan minyak masak paket 1 kg, sebuah tangki silinder mengandungi hampir 4,000 kg minyak masak serta 128 bungkusan plastik minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama yang dipotong pembungkusnya.
“Kesemua minyak masak paket bersubsidi itu dianggarkan hampir 10,015 kg, manakala beberapa peralatan digunakan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah dan beberapa dokumen perniagaan lain disita untuk siasatan lanjut dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM64,567.
“Seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang dipercayai bekerja sebagai pemandu lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu serta syarikat lain yang terbabit dalam aktiviti berkenaan selain rantaian pengedaran minyak masak berkenaan.
“Premis terbabit juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen.
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



