KPDN Bintulu Rampas 6,000 Liter Diesel Tanpa Permit Sah

Tangki berisi 6,000 liter bekalan diesel yang tidak mempunyai permit pemilikan sah daripada KPDN disita berhampiran Kuala Segan, Bintulu Sabtu lalu.
BINTULU, 5 Feb – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu bertindak merampas 6,000 liter diesel bernilai RM28,900 dalam sebuah tangki berhampiran Kuala Segan di sini, Sabtu lalu.
Ketua Cawangan Pejabat KPDN Bintulu Al Redzamani Abdul Razak dalam kenyataan media di sini semalam berkata, hasil maklumat serta risikan yang dijalankan telah menemui sejumlah stok diesel yang disimpan dalam tangki yang mencurigakan.
“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen seperti permit menyimpan diesel daripada KPDN termasuk lesen dan surat kebenaran yang sah,” ujarnya.
Al Redzamani berkata, dengan terbongkarnya stok haram itu sekali gus berjaya membanteras kegiatan pemilikan bekalan diesel tanpa permit sah.

Kes katanya, akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Jika disabitkan bersalah, individu atau syarikat terbabit akan berhadapan tindakan undang-undang iaitu didakwa di mahkamah atau dipenjara atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati bersekongkol dengan sindiket penyelewengan diesel akan diambil tindakan tegas dan berdepan dengan penggantungan atau pembatalan lesen.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
