Al-Jazeera Dakwa Tuduhan PM Israel ‘Menggelikan’, Satu Pembohongan!

Al-Jazeera menyifatkan dakwaan Benjamin Netanyahu satu pembohongan yang ‘menggelikan’. Foto Al-Jazeera

DOHA, 2 Apr – Tuduhan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada rangkaian berita antarabangsa, Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar sebagai ‘memudaratkan keselamatan Israel’ disifatkan kebohongan berbahaya dan “menggelikan”.

“Dalam satu langkah yang semakin meningkat, Netanyahu melancarkan kempen terburu-buru menentang Al Jazeera, menuduh kami memudaratkan keselamatan Israel, secara aktif mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober lalu, dan menghasut melawan tentera Israel.

“Al Jazeera mengecam kenyataan ini dan menganggapnya sebagai satu ‘pembohongan menggelikan’ yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, serangan terhadap rangkaian Al Jazeera telah dilakukan dengan “cara yang memalukan”.

Al-Jazeera menyifatkan dakwaan Benjamin Netanyahu satu pembohongan yang ‘menggelikan’. Foto Al-Jazeera

“Netanyahu tidak dapat mencari sebarang justifikasi untuk ditawarkan kepada dunia atas serangan berterusannya terhadap Al Jazeera dan kebebasan akhbar, kecuali untuk mengemukakan pembohongan dan fitnah baru terhadap rangkaian kami dan hak pekerja,” tegasnya.

Rangkaian itu mengatakan bahawa Netanyahu bertanggungjawab atas keselamatan kakitangannya.

“Al Jazeera mengulangi bahawa tuduhan fitnah itu tidak akan menghalang kami daripada meneruskan liputan yang berani dan profesional,” tambahnya.

Terdahulu, Netanyahu memberi amaran beliau akan “bertindak segera” untuk menutup pejabat tempatan rangkaian itu.

Ia susulan Parlimen Israel, Knesset meluluskan rang undang-undang membenarkan rangkaian asing yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara diharamkan “sementara.”

Larangan itu akan dilaksanakan untuk tempoh 45 hari pada satu masa, yang boleh diperbaharui.

Undang-undang itu juga akan terus berkuat kuasa sehingga Julai atau sehingga tamat pertempuran penting di Gaza.

Sekurang-kurangnya 100 wartawan termasuk dari Al Jazeera telah terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober lalu. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *