Kor Ming Mahu Jumpa Pemimpin Umno Isu Kampung Baru Cina Jadi Tapak Warisan Dunia

Nga Kor Ming (enam dari kanan) bergambar di hadapan arca sempena Majlis Perasmian Arca Setia Kawan di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh hari ini. Foto Bernama

MANJUNG, 11 FebMenteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bagi memperjelaskan cadangannya berkaitan pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ia susulan kenyataan beberapa pemimpin Umno sebelum ini termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain Setiusaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan menolak keras cadangan itu serta menyifatkan ia sebagai menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera.

“Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin Umno. Kita ajak mereka untuk bermusyawarah supaya kita dapat bincang dan ketahui hakikat fakta sebenar supaya mereka tak terpesong dengan fakta atau isu sentimen yang dimainkan oleh pembangkang Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arca Setia Kawan dan Sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh di sini, hari ini.

Nga Kor Ming (enam dari kanan) bergambar di hadapan arca sempena Majlis Perasmian Arca Setia Kawan di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh hari ini. Foto Bernama

Turut hadir Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Astaka Jason Ng Thien Yeong, Adun Pantai Remis Wong May Ing dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Kor Ming mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Susulan itu, kata Naib Pengerusi DAP berkenaan, Kerajaan Pusat dan Selangor akan membincangkan perkara itu dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak 1948 itu.

Kelmarin, Asyraf Wajdi dipetik berkata, cadangan itu dilihat terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung, meskipun bertujuan untuk memperkasakan sektor pelancongan negara.

“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan.

“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan.

Semalam, Ahmad Maslan dipetik berkata kenyataan demi kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pemimpin DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat negara ini malah keharmonian masyarakat.

Ahmad turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan DAP itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi Bumiputera atau menguji tahap kesabaran golongan itu.

Mohamad pula dilaporkan berkata cadangan itu tidak perlu, selain perlu dibawa ke peringkat Kabinet atau dibahaskan di Parlimen.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjalan suatu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi menilai potensi permohonan pengiktirafan itu.

“Apabila kita dapat (hasil kajian nanti), ada kemungkinan perkara ini boleh dijalankan, maka saya akan angkat untuk perbincangan di peringkat Kabinet, barulah Jemaah Menteri buat keputusan.

“Sebab itu saya nasihatkan khususnya tolong jangan jadikan isu ini seolah-olah isu perkauman, isu perkauman ni memang berbisa.

“Ia akan merosakkan keharmonian kita. Kita seharusnya menjauhi sikap assabiyah,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *