Anggota ‘Kabinet Bayangan’ Tak Perlu Diberi Elaun – Pensyarah Politik UTM

Pensyarah Politik UTM Prof Madya Dr Mazlan Ali. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 11 FebPemberian elaun kepada Kabinet bayangan yang diwujudkan pembangkang tidak sesuai dilaksanakan, terutama ketika negara masih berdepan ekonomi mencabar.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berkata pemberian elaun kepada Kabinet bayangan itu akan memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan dan wang serta cukai rakyat.

Katanya, pemberian elaun itu bukan keutamaan, terutama dalam keadaan Ahli Parlimen pembangkang masing-masing mendapat elaun dan saraan mencukupi bagi menjalankan tugas.

“Mereka yang mendapat saraan ini bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai institusi semak dan imbang, baik bertindak bersendirian atau berkumpulan seperti Kabinet bayangan.

“Itu tanggungjawab mereka (Ahli Parlimen pembangkang) dan tidak perlu diberi elaun tambahan RM5,000 sebulan.

Pensyarah Politik UTM Prof Madya Dr Mazlan Ali. Foto Arkib

“Pemberian elaun itu memerlukan perbelanjaan besar, belum lagi ditambah peruntukan menggajikan pegawai penyelidik yang sebenarnya tidak perlu kerana ahli Parlimen perlu membuat ‘kerja rumah’ sendiri dengan elaun bulanan sedia ada,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum inj, Projek-Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Kabinet bayangan pembangkang dengan diberi elaun bulanan RM5,000 tanpa pencen, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan imbuhan lain.

Langkah itu bagi mengikut amalan di negara demokrasi berparlimen matang seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand.

Gerakan itu juga mahu menteri dalam Kabinet bayangan untuk mengangkat sumpah sebagai pembangkang setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Mazlan berkata, di negara ini hanya ketua pembangkang diberi kemudahan elaun selain mendapat pejabat dan kedudukannya setara menteri Kabinet.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, kerajaan perlu lebih berhemah dan mengutamakan keperluan rakyat,” katanya.

Khamis lalu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima ketua portfolio baharu dalam Kabinet Bayangan bagi menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *