Konflik Asia Barat: Malaysia-Indonesia Sepakat Pergiat Usaha Diplomasi – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta bagi membincangkan isu geopolitik susulan konflik di Asia Barat pada 27 Mac 2026. Foto PMO
JAKARTA, 27 Mac – Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini membawa kepada permuafakatan Malaysia dan Indonesia untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat, selain melindungi nyawa orang awam dan membuka rundingan ke arah penyelesaian konflik.
Perbincangan khas antara Anwar dengan Prabowo itu diadakan sempena lawatan khas beliau ke negara itu hari ini atas undangan Presiden Prabowo menerusi panggilan telefon pada 23 Mac lalu.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga akan bersama-sama melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
Katanya, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, mesti dipastikan tidak terjejas.

“Saya turut maklumkan interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.
“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Anwar berkata, pertemuan penuh makna bersama Prabowo hari ini juga membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan mendepani konflik Asia Barat yang kini menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia.
“Dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma (HLP), Jakarta Timur jam 3.45 petang waktu tempatan (4.45 petang waktu Malaysia) hari ini.
Ketibaan Anwar disambut Menteri Luar Indonesia Sugiono; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
