Konflik Asia Barat: Belanja Berhemah, Disiplin Kewangan, Elak Berhutang

Rakyat digesa mengamalkan perbelanjaan berhemah sebagai persediaan berdepan persekitaran mencabar dan tidak menentu ekoran konflik di Asia Barat.
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Susulan kesan berantai konflik di Asia Barat ketika ini, rakyat digesa mengamalkan perbelanjaan berhemah sebagai persediaan berdepan persekitaran mencabar dan tidak menentu, termasuk menggunakan subsidi yang diberi kerajaan dengan bijak dan terkawal.
Dalam berdepan tekanan ekonomi susulan kenaikan harga minyak dunia, pakar ekonomi dan penganalisis menekankan kepentingan pendekatan yang tenang, berdisiplin serta proaktif dalam mengurus kewangan peribadi bagi mengelak kesulitan kewangan pada tahun ini.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata orang ramai perlu menyusun semula bajet bulanan dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan utiliti, selain mengelak pembaziran.
Beliau berkata, pembinaan tabung kecemasan walaupun dalam jumlah kecil amat penting sebagai perlindungan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
“Pengguna juga perlu mengelak pembelian panik dan sentiasa merujuk maklumat rasmi supaya setiap keputusan kewangan dibuat secara rasional, bukan berasaskan emosi,” katanya sebagai mengulas mengenai saranan kepada orang ramai dalam menguruskan kewangan ketika berdepan ketidaktenuan ekonomi semasa,” katanya.
Disiplin kewangan termasuk mengelakkan berhutang dengan komitmen tidak perlu juga wajar diamalkan berikutan banyak syarikat dijangka mengamalkan langkah berjimat-cermat kerana kos operasi mungkin meningkat ekoran kos bahan mentah diramal akan meningkat sehingga 30 peratus.
Kenaikan harga bahan api dunia menjadi faktor utama peningkatan kos operasi dan ia akan mengecilkan pengeluaran mana-mana industri yang memberi kesan langsung kepada pekerja dan negara.
Justeru, adalah wajar bagi rakyat mengawal perbelanjaan diri dan keluarga serta berharap agar krisis peperangan yang kini memasuki sebulan berakhir dalam masa terdekat.
Kesemua ini menuntut persediaan mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko ketidak tentuan ekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan memastikan subsidi tidak membebankan pula fiskal negara seperti yang dialami Thailand kini.
Sediakan payung sebelum hujan!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




